Kamis, 20 Maret 2014

2. Bukti mengenai asal-usulnya dari Zaman Pertengahan

2. Bukti mengenai asal-usulnya dari Zaman Pertengahan
Kami mendapati banyak bukti di dalam Injil Barnabas yang menunjukkan ia gubahan semasa Zaman Pertengahan – beberapa kurun selepas Hazrat Isa dan Muhammad.
a) Hari Raya Yobel
Pada zaman Musa, Allah firmankan bangsa Yahudi meraikan Hari Raya Yobel dua kali dalam satu abad:
Tahun yang kelima puluh itu harus menjadi tahun Yobel bagimu (Imamat 25:11)
Berabad-abad firman ini dipatuhi dan gereja Roma Katolik telah mengambilnya ke dalam iman Kristian. Pada sekitar 1300 AD Paus Boniface ke lapan menitahkan supaya pesta Yobel disambut setiap seratus tahun. Selepas kematian Boniface, Paus Clemens ke enam menitahkan pada 1343 AD bahawa Hari Raya Yobel patut disambut pada tahun ke lima puluh, sepertimana yang dipatuhi oleh bangsa Yahudi semasa zaman nabi Musa. Sekarang mari kita perhatikan apa yang Hazrat Isa didakwa telah katakan di dalam Injil Barnabas:
"Setelah itu Allah akan disembah di seluruh dunia, rahmat diterima, sepertimana tahun Yobel, yang sekarang datang sekali seratus tahun, akan Al-Masih kurangkan menjadi setahun sekali di merata tempat" (Injil Barnabas m.s.104)
Hanya satu penyelesaian yang dapat menjelaskan perselisihan ini. Pengarang Injil Barnabas hanya dapat menulis Hazrat Isa sebagai berkata demikian jika dia tahu akan titah Paus Boniface. Tetapi bagaimana dia tahu mengenai titah itu selain daripada jika dia hidup pada atau selepas zaman Boniface? Ini adalah kesalahan zaman (anachronisme) yang nyata dan terpaksalah kita menyimpulkan bahawa Injil Barnabas ditulis selewat-lewatnya dalam abad ke 14 Masihi.
Ini juga bermakna bahawa Injil Barnabas dikarang sekurang-kurangnya 700 tahun selepas zaman Muhammad dan inilah yang menyebabkannya tanpa sebarang nilai sejarah pun. Walaupun Injil Barnabas kerap membuat Hazrat Isa meramal kedatangan Muhammad dengan menyebut namanya (kerana inilah kitab ini menjadi paling laris dijual dalam dunia Islam hari ini), tetapi kerana ia ditulis selepas kematian Muhammad, "ramalan-ramalan" ini tidak berguna langsung. Sememangnya Injil Barnabas mengandungi banyak perbincangan dan adat yang berbau ajaran Islam yang asas – semua ini tidak bernilai langsung kerana ia ditulis sekurangnya-kurangnya 700 tahun selepas kedatangan Islam.
Ramalan yang ditulis ratusan tahun selepas perkara itu telah berlaku tidak bermakna dan tidak bernilai, seperti ramalan cuaca untuk hari yang lepas. Kami menyimpul, dari ayat mengenai Hari Raya Yobel bahawa Injil Barnabas dikarang tidak awal daripada abad ke-14 Masihi. Mari kita terus menyelidik bukti selanjutnya yang menunjukkan keasalannya dari Zaman Pertengahan.
b) Petikan daripada karya Dante
Dante adalah seorang berbangsa Itali, yang hidup pada zaman Paus Boniface dan telah menulis "Divina Comedia" yang terkenal pada abad ke-14. Buku itu adalah cerita fantasi mengenai neraka, akraf dan syurga mengikut kepercayaan gereja Roma Katolik pada zaman itu.
Dalam Injil Barnabas, Hazrat Isa ditulis sebagai berkata mengenai nabi-nabi lalu:
"Dengan keadaan siap-sedia dan riang mereka menempuh maut, supaya tidak berdosa kepada hukum Allah yang diberikan kepada Musa hambaNya dengan berkhidmat kepada tuhan-tuhan palsu yang berbohong" (Injil Barnabas m.s.27)
Terdapat beberapa sebutan "tuhan-tuhan palsu yang berbohong" lain yang dijumpai dalam Injil Barnabas juga. Pada satu tempat, Hazrat Isa sekali lagi dibayangkan menggunakan sebutan ini (m.s. 99) dan di tempat lain, pengarang telah membayangkan Herodias sebagai berkhidmat kepada "tuhan-tuhan palsu yang berbohong" (m.s. 267). Walau bagaimanapun sebutan ini tidak terjumpa di dalam Al-Kitab mahupun Al-Quran. Apa yang menarik ialah ungkapan itu bulat-bulat dari karya Dante! Kebanyakan cerita neraka di dalam Injil Barnabas (m.s. 76-77) adalah kenangan kepada yang terdapat di dalam karya Inferno Dante.
Begitu juga sebutan "raging hunger" (rabbiosa fame) adalah bayangan kepada kanto pertama di dalam karya Inferno Dante. Kedua-duanya menceritakan mengenai "bulatan-bulatan neraka" dan pengarang Injil Barnabas juga membuat Hazrat Isa berkata kepada Petrus:
"Tahulah engkau bahawa neraka itu satu, tetapi adanya tujuh bulatan satu di bawah yang satu lagi. Jadi, sepertimana ada tujuh jenis dosa, kerana Iblis telah menjadikannya tujuh pintu neraka: begitu juga ada tujuh jenis hukuman di dalamnya" (Injil Barnabas m.s.171)
Inilah sebutan bulat-bulat yang terdapat di dalam kanto-kanto kelima dan keenam karya Dante. Kami boleh menyebutkan banyak contoh lagi tetapi oleh kerana batasan ruangan kami hanya rela memberi bukti-bukti lain yang menunjukkan penulisan Injil Barnabas semasa Zaman Pertengahan. Satu ungkapan yang penting mesti diperkatakan, kerana dalam kes ini Injil Barnabas bersetuju dengan Dante tetapi berlawanan dengan ajaran Al-Quran. Kita baca di dalam Al-Quran bahawa terdapat tujuh langit:
Dia-lah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak (menciptakan) langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. Surah 2:29
Sebaliknya kita baca di dalam Injil Barnabas bahawa terdapat sembilan langit dan Firdaus itu seperti Empyrean yang diceritakan Dante – adalah di langit ke-sepuluh di atas sembilan langit-langit itu. Pengarang Injil Barnabas membuat Hazrat Isa berkata:
Firdaus itu hebatnya, tiada yang dapat mengukurnya. Sesungguhnya aku memberitahu kamu bahawa langit itu sembilan kesemuanya… Aku berkata kepadamu bahawa Firdaus itu lebih hebat daripada gabungan bumi dan semua langit sama sekali. (Injil Barnabas m.s. 203)
Nyatalah pengarang Injil Barnabas mengetahui tentang hasil kerja Dante dan tidak teragak-agak memetik darinya. Sememangnya bukti ini menunjukkan kitab ini ditulis ratusan tahun selepas zaman Hazrat Isa dan Muhammad. Sesungguhnya Injil Barnabas ialah satu kepalsuan yang tidak bernilai dan harus ditolak oleh semua kaum Muslim yang percaya di dalam hati mereka bahawa kepalsuan itu tidak harus dicampuraduk dengan kebenaran.
c) Suasana Zaman Pertengahan Injil Barnabas
Pengarang Injil Barnabas menuntut dia berada di sisi Hazrat Isa pada keseluruhan pelayanannya, dan oleh itu pengarang telah menziarahi tanah Palestin semasa Hazrat Isa berada bersama Bani Israil selama tiga tahun. Oleh itu, kita patut memperhatikan keadaan Palestin pada zaman Hazrat Isa di dalam Injil Barnabas – sepertimana yang kita dapat lihat di dalam keempat-empat buah kitab Injil Kristian yang tulen. Tetapi kami bertemu dengan keadaan yang membelotkan suasana Zaman Pertengahan Eropah Barat di dalam Injil Barnabas:
"Lihatlah betapa indahnya dunia dalam musim panas, apabila semua benda berbuah. Petani, mabuk dengan keriangan kerana tibanya musim menuai, memenuhi lembah dan gunung dengan nyanyiannya, kerana dia amat menyukai kerjanya" (Injil Barnabas m.s. 217)
Ini adalah deskripsi negara Sepanyol atau Itali pada musim panas tetapi pasti bukan Palestin di mana hujan turun pada musim sejuk dan padangnya kering pada musim panas. Bagaimanapun, bercucuk tanam di Palestin adalah sentiasa susah dan memerlukan usaha yang keras dan kebanyakan kawasan luar bandarnya kosong dan tidak berumput. Kami hairan, tanah ini pada musim panasnya boleh dijadikan sebagai contoh suasana Firdaus yang menyenangkan. Memang Hazrat Isa telah dikatakan sebagai memberi percakapan itu kepada pengikut-pengikutnya di kawasan gurun yang terletak di seberang Yordan (Injil Barnabas m.s. 211), tempat di mana tidak ada kesan padang rumput yang menghijau seperti yang telah didakwa.
Sekali lagi kita baca di Injil Barnabas bahawa Martha, kakaknya Maryam dan abangnya Lazarus adalah tuan punya dua buah bandar iaitu Magdala dan Betani. Kepunyaan begini hanya dijumpai pada sistem feudal Eropah Zaman Pertengahan dan bukan pada zaman Hazrat Isa.
Kesilapan-kesilapan anachronisme begini membantahi keaslian Injil Barnabas. Memang tepat jika disangkakan bahawa ianya dikarang oleh seorang Muslim pada Zaman Pertengahan, yang telah terbantut dan gagal dalam usahanya membuktikan kerosakan Injil asli di dalam Al-Kitab, lalu dia menulis injil yang palsu dan menyatakannya sebagai injil benar! Satu contoh lagi yang memperlihatkan persekitaran Zaman Pertengahan kitab ini ialah rujukan kepada tong-tong arak (m.s. 196), kerana arak disimpan di dalam beg kulit pada zaman Hazrat Isa dan tong kayu digunakan pada Zaman Pertengahan.
Oleh itu, walaupun pengarang Injil Barnabas menunjukkan di dalam kitabnya bahawa dia berpengetahuan jitu mengenai struktur sosial Zaman Pertengahan, pada masa yang sama dia juga membongkar kejahilannya mengenai tanah Palestin yang sepatutnya dijelajahnya selama tiga tahun sebagai pengikut Hazrat Isa! Dia menulis:
"Selepas tiba di kota Nazaret, kelasi-kelasi menyebar ke seluruh kota itu semua yang dilakukan Hazrat Isa…." (Injil Barnabas m.s. 23)
Nazaret dikatakan sebagai kota pelabuhan di persisiran tasik Galilea. Selepas ini kita membaca bahawa Hazrat Isa "naik ke Kapernaum" (m.s.23) dari Nazaret, seolah-olah Kapernaum terletak di tepi bukit yang berhampiran lautan Galilea. Fakta pengarang salah kerana Kapernaum adalah kota di persisiran pantai dan Nazaret terletak di atas bukit (sehinggalah ke hari ini), bukan sebaliknya. Bukti ini juga menunjukkan bahawa pengarang Injil Barnabas tinggal di Eropah semasa Zaman Pertengahan dan bukan Palestin semasa zaman Hazrat Isa.


LIHAT JUGA TENTANG BARNABAS
1.http://ahmadthoriq-islam.blogspot.com/2014/03/1-adakah-barnabas-pengarang-sebenarnya.html
2.http://ahmadthoriq-islam.blogspot.com/2014/03/2-bukti-mengenai-asal-usulnya-dari.html
3.http://ahmadthoriq-islam.blogspot.com/2014/03/3-bukti-bukti-lain-yang-menentang.html
4.http://ahmadthoriq-islam.blogspot.com/2014/03/injil-barnabas.html


0 komentar:

Posting Komentar

Diberdayakan oleh Blogger.