Kitab ini mengaku dirinya sebagai satu Injil dan pengarangnya sebagai seorang rasul yang bernama Barnabas. Oleh itu, kita harus bermula dengan menyelidiki siapakah sebenarnya Barnabas dan adakah dia pengarang kitab ini? Untuk tujuan ini, kita mesti membandingkan pengetahuan yang kita ada mengenai rasul Barnabas yang tulen di dalam Al-Kitab dengan pengakuan pengarang Injil Barnabas. Di dalam kitab Barnabas ini, dua ulasan pada permulaan dan penutupnya membantu kami untuk perjuangan ini. Mereka adalah:
Ramai, yang diperdaya oleh Iblis, di bawah kepuraan beribadat, berkhutbah mengenai ajaran yang tidak beriman, menggelar Hazrat Isa sebagai anak Allah, membantahi khatan (sunat) yang ditentukan Allah buat selama-lamanya, dan menghalalkan semua daging yang tidak suci: antaranya ialah Paulus yang juga terpedaya. (Injil Barnabas m.s. 2)Pengarang kitab ini menggunakan bahasa yang keras untuk mengumpat ajaran Paulus, khususnya mengenai khatan, hal penyaliban, kematian dan kebangkitan Hazrat Isa, dan kepercayaan Kristian bahawa Hazrat Isa adalah Anak Allah. Kitab ini dipenuhi dengan bicara-bicara yang dilemparkan terhadap ajaran-ajaran Paulus yang dimarahi pengarang kitab ini. Maka tidak hairanlah bahawa pengarang kitab ini terpisah jauhnya daripada Paulus dan asas agamanya serta bertentangan dengan khutbah dan ajarannya.
Ada di antaranya yang berkhutbah bahawa dia benar-benar mati, tetapi hidup kembali. Ada yang berkhutbah, dan masih berkhutbah, bahawa Hazrat Isa adalah anak Allah, di antara mereka ialah Paulus yang terpedaya. (Injil Barnabas m.s .273)
Inilah salah satu daripada bukti-bukti yang menyanggah kesahihan kitab ini kerana sesiapa yang menulisnya dengan senang menyertakan nama "Barnabas" sebagai pengarangnya, sedangkan dengan meneliti profil Barnabas secara singkat saja, sudah cukup untuk membuktikan bahawa rasul tersebut memang bukan pengarang kitab ini.
Dengan ringkas, mari kita menyiasat mengenai sejarah Barnabas yang terkandung di dalam Al-Kitab. Dia hanya muncul di kalangan rasul-rasul setelah kenaikan Hazrat Isa ke syurga semasa gereja Kristian awal mula bertapak di tanah Palestin. Sebagai tanda keimanan dan kasih sayang kepada saudara-saudaranya, dia telah menjual sebidang tanah kepunyaannya dan menyerahkan hasil penjualannya kepada rasul-rasul untuk dibahagikan mengikut budi bicara mereka kepada saudara-saudara mereka yang kekurangan. Budi pekertinya telah menjadi satu sumber penggalakan kepada mereka yang percaya dan rasul-rasul telah menamakan dia "Bar-nabas" yang bermaksud "anak penghiburan ". Sebelum itu, dia hanya dikenali dengan nama umumnya Yusuf. (Kisah Para Rasul 4:36)
Di sini pengarang Injil Barnabas telah membuat kesilapan pertamanya yang ketara kerana dia sangka di dalam kitabnya bahawa bukan sahaja Barnabas itu satu daripada pengikut-pengikut Hazrat Isa semasa pelayanannya di atas bumi, malah dia juga telah dikenali dengan nama "Barnabas" seluruh masa pelayanan Hazrat Isa. Lebih dari sekali di dalam kitab ini, Hazrat Isa didakwa menggelarkannya dengan nama Barnabas dan kali pertama ini berlaku adalah pada permulaan kitab ini. Ia berbunyi:
Hazrat Isa menjawab: ‘Janganlah begitu sedih, wahai Barnabas; kerana sesiapa yang telah dipilih Allah sebelum permulaan dunia tidak akan binasa’ (Injil Barnabas, m.s. 21)Sekarang sudah ternyata kesalahan zaman (anachronisme) yang membinasakan kemungkinan bahawa kitab ini ditulis oleh rasul Barnabas. Rasul-rasul hanya memberikannya nama "Barnabas" setelah kenaikan Hazrat Isa ke syurga akibat budi pekertinya. Akan tetapi, Injil Barnabas membuat Hazrat Isa memanggilnya dengan nama "Barnabas" lebih kurang tiga tahun sebelum kenaikan Hazrat Isa ke syurga. Ini adalah satu bantahan serius - dan pada pandangan kami - satu kecelakaan kepada tuntutan bahawa kitab ini dikarang oleh rasul Barnabas.
Apabila kita meneruskan pengkajian mengenai kehidupan Barnabas, kami mendapati bukti lain yang memusnahkan dakwaan bahawa Barnabaslah pengarang kitab ini. Kali kedua Barnabas muncul dalam kejadian-kejadian Gereja awal adalah semasa lawatan pertama Paulus kepada rasul-rasul di Yerusalem. Oleh kerana rasul-rasul itu tahu akan kekerasan Paulus dalam penindasan dan penganiayaan Kristian pada masa itu (kerana mereka percaya bahawa Hazrat Isa adalah Anak Allah), rasul-rasul dan kaum Kristian lain mengesyaki keikhlasan Paulus bertaubat kepada keimanan mereka. Memanglah satu perkara yang membuka mata, di bawah keterangan serangan Injil Barnabas ke atas Paulus, untuk mengetahui siapakah sebenarnya yang bersusah-payah memberi jaminan kepada saudara-saudara di Yerusalem bahawa Paulus telah menjadi seorang pengikut:
Tetapi Barnabas menerima dia dan membawanya kepada rasul-rasul dan menceritakan kepada mereka, bagaimana Paulus melihat Tuhan di tengah jalan dan bahawa Tuhan berbicara dengan dia dan bagaimana keberaniannya mengajar di Damsyik dalam nama Yesus. Kisah Para Rasul 9:27Kami sekarang dihadapi dengan satu rangkaian bukti serius kedua yang menentang cadangan bahawa Barnabas adalah pengarang "Injil" yang diberikan namanya. Cuma tujuh ayat terdahulu, kami baca bahawa semasa Paulus sedang berkhutbah di khalayak orang ramai di dalam rumah ibadat yang berada di kota Damascus, "dengan segera dia menyatakan mengenai Hazrat Isa, ‘Yesus adalah Anak Allah’." (Kisah Para Rasul 9:20). Apabila Paulus datang ke Yerusalem, Barnabaslah yang bersemangat mempertahankan dia sebagai seorang pengikut Hazrat Isa.
Begitulah perbandingan yang begitu ketara dengan kitab di mana pengarangnya, yang dikatakan sebagai Barnabas telah memarahi Paulus yang mengkhabarkan bahawa Hazrat Isa adalah Anak Allah. Tetapi Barnabas yang benar ialah orang-kanan Paulus; Paulus yang mengajar mengenai Hazrat Isa, Anak Allah di tempat awam. Barnabas inilah yang telah memperkenalkan dia di kota Yerusalem dan gigih berusaha meyakinkan rasul-rasul di sana mengenai kebenaran Paulus.
Kami akan menunjukkan di dalam buku ini kelak bahawa Injil Barnabas ditulis pertama kalinya tidak awal dari empat belas abad selepas Hazrat Isa dan pengarangnya, sesiapa dia, telah memilih nama Barnabas sebagai pengarang kitab palsu yang jahat ini. Penyelidik-penyelidik yang menyiasat kitab ini secara mendalam (telah dinamakan awal tadi), telah cuba menjawab juga soalan kenapa pengarang sebenar kitab ini menggunakan nama Barnabas sebagai pengarang andainya. Satu atau dua teori yang mungkin telah dikemukakan tetapi belum ada sebab-sebab yang munasabah kenapa dia berbuat demikian.
Tetapi ada satu perkara yang kami tahu - pengarang sebenar Injil Barnabas telah membuat pilihan yang paling teruk mengenai "pengarang" kitabnya iaitu Barnabas. Dia telah menulis kitab ini sebagai penentangan terhadap "Kekristenan/Kristianiti Ajaran Paulus", dan tanpa berfikir panjang, memilih sebagai pengarangnya orang yang selalu berada di sisi Paulus – Barnabas yang memuji dia sebagai pengikut Hazrat Isa dan mengesahkan khutbahnya ke mana-mana saja dia pergi. Secara terus terang, pengarang Injil Barnabas yang menentang ajaran Paulus, telah memilih sebagai pengarang kitab ini orang yang menyokong paling aktif ajaran Paulus berbanding dengan orang yang lain semasa pelayanan Paulus. Barnabas adalah saudara-darah Paulus dalam rohani. Pengarang sebenar kitab ini untuk kali kedua telah melakukan satu kesilapan ketara dengan menyarankan rasul Barnabas sebagai pengarang "Injil" palsu yang dikarangnya sendiri.
Apabila kita mendalami kehidupan Barnabas, hakikat ini menjadi lebih jelas. Semasa jemaah di kota Yerusalem mendapat tahu yang jemaah di kota Antiokhia sedang membesar dengan sempurna, rasul-rasul telah memutuskan untuk menghantar Barnabas ke sana untuk mengambil-alih ajaran dan pengajaran mereka yang baru beriman. Tetapi Barnabas, mengikut kehendak sendiri, telah memutuskan bahawa dia tidak dapat mengendalikan kerja ini seorang diri, dan perlu mendapat pertolongan seorang saudara seiman untuk kerja ini. Tanpa was-was, Barnabas terus pergi ke Tarsus di Asia Kecil untuk mencari Paulus dan justeru, membawa dia ke Antiokhia sebagai penolongnya dalam pengajaran di jemaat kota itu.:
Mereka tinggal bersama-sama dengan jemaat itu satu tahun lamanya, sambil mengajar banyak orang. Di Antiokhialah murid-murid itu untuk pertama kalinya disebut Kristian. Kisah Para Rasul 11:26Di bawah pelayanan padu Paulus dan Barnabas, pengikut-pengikut Kristus buat pertama kalinya digelar sebagai Kristian – kerana Barnabas memperjuangkan "Kekristenan/Kristianiti Ajaran Paulus" yang ditentang oleh Injil Barnabas. Selepas ini, Paulus dan Barnabas pergi ke kota Yerusalem dengan bantuan untuk saudara-saudara yang menghadapi kebuluran yang berlaku di situ semasa pemerintahan maharaja Roma, Klaudius (Kisah Para Rasul 11:28-30). Selepas itu, Paulus dan Barnabas pulang ke Antiokhia (Kisah Para Rasul 12:25). Mereka terus mengetuai gereja di sana dan kelak, dihantar oleh gereja untuk memberitakan Injil di daerah Galatia (sekarang dikenali sebagai sebahagian negara Turki).
Ke mana juga mereka pergi, mereka tetap berkhutbah bahawa Hazrat Isa adalah Anak Allah, dan Allah telah membangkitkannya dari kubur (Kisah Para Rasul 13:33). Akan tetapi, pengarang Injil Barnabas mahu kita percaya bahawa Barnabas adalah seteru atau musuh ketat Paulus dalam hal-hal ini! Kami juga mendapati mereka menyampaikan bahawa hukum-hukum Yahudi yang menghadkan (contohnya khatan) tidak patut dipaksakan ke atas golongan bukan bangsa Yahudi dan tidak seharusnya menjadi satu keperluan untuk penyelamatan. Peristiwa menarik yang berlaku di dalam pelayanan padu mereka dirakamkan di dalam perkataan-perkataan berikut:
Beberapa orang datang dari Yudea ke Antiokhia dan mengajarkan kepada saudara-saudara di situ: "Jikalau kamu tidak disunat munurut adat istiadat yang diwariskan oleh Musa, kamu tidak dapat diselamatkan." Tetapi Paulus dan Barnabas dengan keras melawan dan membantah pendapat mereka itu. Akhirnya ditetapkan, supaya Paulus dan Barnabas serta beberapa orang lain dari jemaat itu pergi kepada rasul-rasul dan penatua-penatua di Yerusalem untuk membicarakan soal itu. (Kisah Para Rasul 15:1-2)Beberapa orang Yudaiser (iaitu golongan orang Yahudi beragama Kristian yang percaya antaranya, bahawa sebilangan upacara-upacara keagamaan dalam Perjanjian Lama masih berkuatkuasa ke atas gereja Perjanjian Baru) telah datang kepada kaum Kristian, dan menyatakan bahawa berkhatan (bersunat) itu perlu untuk penyelamatan. Siapakah pula yang kami temui berbahas dengan mereka mengenai persoalan itu? Paulus dan Barnabas!
Akan tetapi, dalam Injil Barnabas, kita baca bahawa salah satu daripada "asas agama yang tidak beriman" yang dipegang Paulus adalah pembantahan kepada amalan berkhatan. Kami mengaku bahawa memang benar dia membantahi kewajipan amalan berkhatan untuk penyelamatan (Galatia 5:2-6) – tetapi orang utama yang menyokong dia tidak lain daripada Barnabas! Sekali lagi pengarang kitab Barnabas telah membuat kesilapan dengan menjadikan Barnabas pengarang kitabnya yang palsu.
Memang, mengikut Injil Barnabas, Hazrat Isa dikatakan telah bersabda kepada pengikut-pengikutnya:
‘Biarkan ketakutan kepada mereka yang tidak berkhatan, kerana mereka memecat diri dari syurga.’ (Injil Barnabas, m.s.26)Oleh itu, berkhatan adalah satu kewajipan untuk penyelamatan manusia di dalam Injil Barnabas dan pengarangnya telah bersetuju akan asas agama ini. Tetapi Barnabas yang benar telah bersepadu dengan Paulus dan menentang kuat asas agama orang Yudaiser yang menyebut perihal berkhatan sebagai kewajipan untuk penyelamatan. Jadi nyatalah sekarang bahawa Barnabas yang tulen bukan pengarang kitab ini yang memakai namanya dan sesiapa yang mengarang kitab palsu ini telah menyalahgunakan namanya.
Penerbit kitab Injil Barnabas (Begum Aisha Bawany Wakf) memang sedar akan tujuan utama kitab ini yang menentang "Kekristenan/Kristianiti Ajaran Paulus". Di dalam apendiks bertajuk "Life and Message of Barnabas" mereka menuduh bahawa petikan mengenai perbahasan masalah berkhatan menunjukkan perbalahan di antara Paulus dan Barnabas. Mereka memetik dari Kisah Para Rasul 15:2 dan tanpa sebarang malu mengulas: "Selepas perkelahian ini, terdapat perpisahan" di antara Paulus dan Barnabas (Injil Barnabas, m.s. 279). Tetapi amat jelas bahawa perbalahan itu bukan di antara Paulus dan Barnabas mengenai masalah berkhatan tetapi di antara orang dari Yudea yang memuliakan amalan berkhatan dengan Paulus dan Barnabas yang keras menentang pemesongan agama Hazrat Isa oleh tradisi dan pembatasan yang tidak dapat menyelamatkan. Oleh kerana apendiks ini dapat dijumpai di semua edisi Injil Barnabas yang diterbitkan hari ini, kami mesti berkata bahawa artikel itu cumalah pendustaan yang sengaja terhadap hubungan sebenar di antara Paulus dan Barnabas. Penulis artikel itu telah mengetepikan suara hati dalam percubaannya memaksa teori Injil Barnabas bahawa Paulus dan Barnabas tidak bersetuju mengenai ajaran agama yang asas.
Tidak terdapat sebarang bukti pada bila-bila masa yang menunjukkan pertelingkahan di antara Paulus dan Bernabas mengenai ajaran agama yang asas. Mereka pernah bertengkar mengenai hal peribadi yang kecil saja apabila Paulus tidak ingin membawa bersamanya Markus Yahya dalam perjalanan dakwah kerana dia telah berpatah balik dahulu semasa dalam perjalanan ke daerah-daerah Galatia (Kisah Para Rasul 15:38-40). Malah hal ini adalah hal peribadi yang jelas telah diselesaikan sebagaimana yang dapat dilihat di dalam kitab suci (Kolose 4:10 dan 2 Timotius 4:11). Di tempat lain, Barnabas didapati bersalah kerana diskriminasinya bersama-sama orang Kristian bangsa Yahudi di Antiokhia apabila mereka enggan makan bersama-sama orang Kristian bukan bangsa Yahudi (Galatia 2:13). Paulus menegur keras perkara ini tetapi ini bukanlah mengenai hal-hal ajaran agama asas tetapi perhubungan umum di kalangan semua orang Kristian, tidak kira latar belakang mereka. Perkara-perkara ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan dasar asas agama yang disebar Paulus dan Barnabas – iaitu bantahan berkhatan sebagai satu kewajipan untuk diselamatkan, penyaliban dan kebangkitan Hazrat Isa dari kubur dan asas agama iaitu Hazrat Isa adalah Anak Allah. Lebih tepat lagi, ada bukti menyeluruh bahawa Barnabas adalah tunggul sokongan semua ajaran agama yang diajar Paulus.
Surat Paulus kepada kaum Kristian yang berada di Galatia telah membantu kami mengerti kebenaran hakikat ini. Di dalam bab kedua kami baca bahawa Paulus dan Barnabas pergi ke kota Yerusalem - dan membawa bersama Titus dari bangsa Yunani yang tidak berkhatan, sebagai kes percubaan menentang kewajipan berkhatan (Galatia 2:1). Tetapi Titus tidak terpaksa untuk dikhatan – nyatalah hasil keyakinan hujah-hujah Paulus dan Barnabas menentang amalan berkhatan sebagai satu kewajipan untuk penyelamatan.
Bukan sahaja rasul-rasul di kota Yerusalem bersetuju dengan Paulus dan Barnabas bahawa amalan berkhatan tidak perlu, tetapi sepertimana yang dikatakan oleh Paulus, mereka "berjabat tangan dengan aku dan dengan Barnabas sebagai tanda persekutuan" (Galatia 2:9). Sekali lagi, simpati dan perpaduan di antara Barnabas dan Paulus timbul dengan jelas dan ia adalah nyata di kalangan gereja awal, bila-bila sahaja kaum Kristian di kota Yerusalem mengenang kembali Barnabas, mereka akan terus menyekutukannya dengan Paulus.
Dalam Galatia bab 3, kami mempunyai bukti lanjut sesungguhnya Barnabas adalah seorang Kristian di dalam semua perkara dan bukannya seorang yang membantahi agama Kristian sebagaimana cara pengarang Injil Barnabas. Paulus, yang bersedih kerana orang Galatia menyangka perkara yang kecil seperti amalan berkhatan adalah satu kewajipan untuk penyelamatan mereka, dengan terbuka menegur mereka kerana hilangnya pandangan mereka mengenai kemewahan dan keseluruhan kerja yang dilakukan Hazrat Isa sendiri melalui kematiannya di atas salib, yang menjadikan penyelamatan satu realiti kepada kaum manusia. Paulus menegur mereka dengan perkataan-perkataan berikut, yang nyata menunjukkan pesanan yang terkandung di dalamnya:
Hai orang-orang Galatia yang bodoh, siapakah yang telah mempersona kamu? Bukankah Yesus Kristus yang disalibkan itu telah dilukiskan dengan terang di depan mu? (Galatia 3:1)Kita mesti bertanya: siapakah yang mengatakan "Yesus Kristus sebagai disalibkan itu telah dilukiskan dengan terang di depan mu" di hadapan orang-orang Galatia? Siapakah yang pertama kali berkhutbah kepada mereka Injil Yesus? Paulus dan Barnabas! Jadi dari surat ini kita ada bukti lanjut yang konkrit bahawa Barnabas justeru memperjuangkan Injil yang Paulus khabarkan. Sememangnya Barnabas bukan sahaja seorang rasul Kristian yang benar tetapi dalam persaudaraan Kristian telah memilih Paulus sebagai rakan eratnya. Oleh itu, rasul Barnabas bukanlah pengarang Injil Barnabas.
Perpaduan di dalam misi dan tujuan Paulus dan Barnabas akhirnya dijelaskan dengan teliti dengan ringkasan aktiviti-aktiviti mereka seperti berikut:
"Penganut-penganut agama Yahudi yang takut kepada Allah, mengikuti Paulus dan Barnabas. Kedua-dua orang rasul itu mengajar mereka dan menasihati supaya mereka tetap hidup di dalam kasih karunia Allah (Kisah Para Rasul 13:43)…Tetapi dengan berani Paulus dan Barnabas berkata (13:46)…Orang-orang Yahudi menimbulkan penganiayaan atas Paulus dan Barnabas (13:50)…Keesokan harinya berangkatlah ia bersama-sama dengan Barnabas ke Derbe (14:20)…Paulus dan Barnabas dengan keras melawan dan membantah pendapat mereka (15:2)…lalu mereka mendengarkan Paulus dan Barnabas menceritakan segala tanda dan mujizat yang dilakukan Allah dengan perantaraan mereka di tengah-tengah bangsa-bangsa lain (15:12)…Maka rasul-rasul dan penatua-penatua berserta seluruh jemaat itu mengambil keputusan untuk memilih dari antara mereka beberapa orang yang akan diutus ke Antiokhia bersama-sama dengan Paulus dan Barnabas (15:22)…Barnabas dan Paulus yang kami kasihi, iaitu dua orang yang telah mempertaruhkan nyawanya kerana name Tuhan kita Yesus Kristus (15:26)…Paulus dan Barnabas tinggal beberapa lama di Antiokhia. Mereka bersama-sama dengan banyak orang lain mengajar dan menberitakan firman Tuhan (15:35)".Terdapat perbezaan yang begitu ketara di antara Barnabas yang tulen, yang telah memilih Paulus sebagai sahabatnya di dalam semua perkara yang disebutkan tadi, dengan pengarang samaran Injil Barnabas yang menentang Paulus dan ajarannya. Kami tidak dapat membuat keputusan lain mengenai Injil Barnabas melainkan menggelarkannya sebagai satu kepalsuan. Ianya bukan ditulis oleh Barnabas tetapi ditulis oleh seorang yang telah membuat kesilapan ketara dalam tipu-muslihatnya dengan memilih nama rakan karib Paulus sebagai pengarang kitabnya.
Terdapat dua perkara dari isi kandungan Injil Barnabas yang juga menunjukkan bahawa pengarang itu bukannya rasul Barnabas yang sebenar. Pertama, kitab ini selalu membuat Hazrat Isa menafikan yang dia adalah Al-Masih, akan tetapi kitab ini juga selalu mamanggil Hazrat Isa dengan gelaran "Kristus" (m.s. 2). Sesiapa yang tahu serba sedikit tentang bahasa Yunani akan tahu bahawa "Kristus" adalah terjemahan "Al-Masih" dan "Yesus Kristus" ialah "Iesous Kristus" dalam bahasa Yunani yang bermaksud "Hazrat Isa Al-Masih". Perselisihan yang begitu senang dilihat di dalam Injil Barnabas juga membuktikan bahawa pengarangnya bukan Barnabas yang tulen. Barnabas berasal dari kepulauan Siprus di mana bahasa Yunani adalah bahasa lingua franca, dan bahasa Yunani adalah bahasa percakapan Barnabas pada masa itu. Barnabas yang tulen tidak akan membuat kesilapan sebegitu sehingga memanggil Hazrat Isa sebagai Kristus dan menafikan dia sebagai Al-Masih!
Kedua, pengarang Injil Barnabas memilih untuk tidak mengetahui mengenai pelayanan Yohanes Pembaptis (Yahya) di dalam kitabnya tetapi telah memesongkan kesaksian Yohanes Pembaptis mengenai Hazrat Isa sehingga menjadi kesaksian Hazrat Isa mengenai Muhammad. Sama ada Hazrat Isa meramalkan ketibaan Muhammad atau tidak bukannya masalah di sini. Apa yang nyata bagi sesiapa yang pernah membaca mengenai kehidupan Hazrat Isa di dalam Al-Kitab ialah, pengarang Injil Barnabas cuba membuat Hazrat Isa sebagai bentara kedatangan Muhammad di dalam tempat Yohanes Pembaptis yang menjadi bentara kedatangan Hazrat Isa. Untuk membuat demikian, pengarang Injil Barnabas telah menggantikan Yohanes Pembaptis dengan Hazrat Isa dan membuat Hazrat Isa berkata mengenai Muhammad apa yang dikatakan Yohanes Pembaptis mengenai Hazrat Isa!
Sememangnya pengarang Injil Barnabas terpaksa melangkaukan orang dan pelayanan Yohanes Pembaptis daripada kitabnya. Akan tetapi kisah yang tercatat di dalam Al-Kitab (Matius fasal 3, Yohanes fasal 1 dan 3) dan Al-Quran (Surah 3:39) mengenai pelayanan Yohanes Pembaptis sebagai bentara Hazrat Isa amat jelas dan nyata. Kedua-dua kisah itu membongkar tipu muslihat pengarang Injil Barnabas. Amat jelas bahawa Barnabas yang tulen, yang dikatakan sebagai "orang baik, penuh dengan Roh Kudus dan iman" (Kisah Para Rasul 11:24) sepanjang hayatnya tidak berupaya membuat kepalsuan dan mengatakannya sebagai kebenaran.
Kami membuat kesimpulan adanya banyak bukti-bukti yang kukuh bahawa Barnabas yang tulen sememangnya bukan pengarang Injil Barnabas yang tersebar luas dewasa ini di dalam dunia Islam. Marilah kita sekarang menyelidiki bukti-bukti yang terdapat di dalam Injil Barnabas untuk meneliti sama ada kitab ini mempunyai sebarang kredibiliti, atau adakah ia bukan sebenarnya kepalsuan jelas yang sengaja disebarkan di perantaraan dunia kaum Muslim sebagai khidmat kepada Iblis dan pengaruhnya.
LIHAT JUGA TENTANG BARNABAS
1.http://ahmadthoriq-islam.blogspot.com/2014/03/1-adakah-barnabas-pengarang-sebenarnya.html
2.http://ahmadthoriq-islam.blogspot.com/2014/03/2-bukti-mengenai-asal-usulnya-dari.html
3.http://ahmadthoriq-islam.blogspot.com/2014/03/3-bukti-bukti-lain-yang-menentang.html
4.http://ahmadthoriq-islam.blogspot.com/2014/03/injil-barnabas.html

0 komentar:
Posting Komentar