Pertama sekali, kitab ini selalu membuat Hazrat Isa menafikan dialah Al-Masih, sebaliknya mengatakan bahawa Muhammad yang menjadi Al-Masih. Tema ini berkekalan dan berulang dalam Injil Barnabas. Dua petikan menunjukkan bahawa bukan saja Hazrat Isa menafikan dirinya sebagai Al-Masih, tetapi berkhutbah bahawa Muhammad itulah Al-Masih:
"Hazrat Isa mengaku dan berkata benar: Saya bukan Al-Masih… saya sememangnya telah dihantar kepada rumah Israil sebagai nabi penyelamat; tetapi setelah saya akan datangnya Al-Masih" (Injil Barnabas m.s. 54, 104)Petikan-petikan lain di dalam Injil Barnabas mengandungi penafian-penafian yang seumpama. Amat nyata bahawa salah satu tujuan utama kitab ini adalah untuk menetapkan Muhammad sebagai Al-Masih dan menundukkan Hazrat Isa kepadanya dari segi kuasa dan kemuliaan. Akan tetapi pengarang kitab ini sudah keterlaluan dalam semangatnya untuk perjuangan Islam. Al-Quran kerap dengan jelas menyatakan bahawa Hazrat Isa adalah Al-Masih dan mengesahkan ajaran sebenar Hazrat Isa mengenai dirinya sebagai Al-Masih (Yohanes 4:26, Matius 16:20). Satu petikan dari Al-Quran adalah memadai untuk membuktikan ini:
… ketika Malaikat berkata: "Hai Maryam, sesungguhnya Allah menggembirakan kamu dengan kalimat daripada-Nya, namanya Al Masih 'Isa putera Maryam, seorang terkemuka di dunia dan di akhirat dan termasuk orang-orang yang didekatkan, (Surah 3:45)Adalah jelas Injil Barnabas sebagai "Injil Islam" yang ideal, memperkenalkan kehidupan Hazrat Isa seperti yang dicatat dalam Al-Quran dan bukan seperti Tuhan Isa Kristus dalam Injil orang Kristian. Tetapi oleh kerana Injil Barnabas kerap bercanggah dengan Al-Quran dan Al-Kitab dalam hal Al-Masih Isa, kitab ini harus ditolak sebagai satu kebenaran oleh kedua-dua orang Muslim dan Kristian. Kerana Injil Barnabas adalah palsu, maka tiada tempat untuk usaha menemukannya dengan Al-Quran atau Al-Kitab.
Kedua, orang Rom telah dikatakan sebagai menghasut orang Yahudi mengenai sifat sebenar Isa sehingga mencapai tahap di mana "seluruh Yudea telah bersenjata" (m.s. 115), sedia berjuang untuk atau bertentangan kepada kepercayaan-kepercayaan yang disebar di kalangan mereka mengenai Isa. Akibatnya, enam ratus ribu orang dikatakan telah berkumpul untuk berperang - dua ratus ribu orang untuk setiap kepercayaan iaitu kepercayaan bahawa dia Allah, kepercayaan dia itu Anak Allah, dan kepercayaan dia cuma seorang rasul; semuanya bersiap sedia untuk perjuangan tiga hala di mana setiap pihak berperang dengan dua pihak yang lain pada masa yang sama!
Kisah ini mendedahkan kedongengan dan kekhayalan dalam kenyataan-kenyataannya yang berlebih-lebih mengenai bilangan tentera yang berkumpul untuk berperang. (Si pengarang kerap membesar-besarkan fakta-fakta dan angka-angka di dalam kitabnya dalam usahanya mencipta kesan yang menakjubkan ke atas pembaca-pembacanya). Di manakah orang Yahudi dapat mencari enam ratus ribu pedang dengan begitu tiba-tiba? Ini memandangkan pada ketika itu orang Rom bukan sahaja telah menindas malah telah menghalang pembikinan senjata-senjata perang oleh negara ini! Daripada berperang sesama sendiri, lebih baik angkatan yang besar ini menghalau orang Rom dari tanah Palestin dengan begitu mudah sekali. Ini adalah kerana bilangan tentera Rom di seluruh dunia ketika itu hanya separuh daripada angkatan ini. Hanya satu garisen yang menguasai Yudea dan sejarah sekular tidak tahu mengenai persediaan yang besar untuk satu perlawanan tiga hala yang melibatkan begitu ramai orangnya.
Tambahan pula, Injil Barnabas juga mencadangkan bahawa Pilatus, Herodias dan Kayafas telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menghalang perbalahan yang besar itu. Kami mendapati ini sukar dipercayai. Jika benar orang Yahudi berjumlah enam ratus ribu orang, Pilatus sudah tentu gembira melihat mereka membunuh satu sama sendiri dalam perlawanan tiga hala!
Injil Barnabas juga jelas bercanggah dengan Al-Quran mengenai kelahiran Hazrat Isa:
Anak dara dikepung oleh terang yang kuat dan melahirkan anaknya tanpa kesakitan (Injil Barnabas m.s. 5)Ini adalah perulangan kepercayaan Roma Katolik pada Zaman Pertengahan. Terang yang kuat dan kelahiran tanpa kesakitan adalah kepercayaan gereja-gereja Eropah pada Zaman Pertengahan. Tiada butir-butir sebegini di dalam Al-Kitab , tetapi Al-Quran bercanggah dengan Injil Barnabas:
Maka rasa sakit akan melahirkan anak memaksa ia (bersandar) pada pangkal pohon kurma, dia berkata: "Aduhai, alangkah baiknya aku mati sebelum ini, dan aku menjadi barang yang tidak berarti, lagi dilupakan". (Surah 19:23)Oleh kerana Injil Barnabas mendakwa sebagai kisah kehidupan Hazrat Isa yang ditulis oleh seorang pengikutnya, dan kerana ia telah dikarang untuk bersinkroni dengan Al-Quran dalam konsepnya bahawa Hazrat Isa adalah seorang nabi Islam, dunia Muslim tidak ragu-ragu mengatakan kitab ini sebagai "Injil benar". Tetapi kami terpaksa bertanya bagaimanakah kitab ini boleh benar di dalam pandangan orang Islam jika ia bercanggah dengan Al-Quran yang dipercayai orang Islam sebagai kalimat Allah?
Di dalam Injil Barnabas, kami membaca bahawa Pilatus adalah gabenor Yudea ketika kelahiran Isa (m.s. 4) dan juga ketika pelayannya tiga puluh tahun kemudian. Palestin adalah satu-satunya kawasan yang bermasalah kepada orang Rom dan tidak ada seorang gabenor yang dihantar ke sana untuk masa yang lama - lebih-lebih lagi untuk tiga puluh tahun. Kami tahu dari sejarah bahawa dalam apa-apa keadaan pun Pilatus hanya dilantik sebagai Gabenor pada tahun 27 selepas Masihi - lebih daripada satu generasi selepas kelahiran Isa. Ini adalah satu lagi faux pas - satu antara banyak yang terkandung di dalam lembaran-lembaran Injil palsu ini.
Satu percanggahan lagi di antara Injil Barnabas dengan Al-Quran ialah mengenai akhirat. Menurut Injil Barnabas, pada hari ketiga belas dari satu kemuncak lima belas hari yang akan menuju kepada kiamat, "langit akan digulungkan seperti sebuah kitab, dan hujan api akan turun, supaya semua benda hidup akan mati" (m.s.70). Tetapi Al-Quran berkata:
Dan apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkakala yang kedua) pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dari ibu dan bapaknya, dari istri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya. ...(Surah 80:33-37)Ini satu perselisihan yang nyata. Injil Barnabas menyatakan semua akan mati dua hari sebelum hari kiamat tetapi Quran berkata ada yang masih hidup apabila trompet dibunyikan dari langit. Kaum Muslim mesti memilih di antara Quran dan Injil Barnabas – tiada siapa dapat percaya bahawa Injil Barnabas adalah akuan tepat mengenai hidup Hazrat Isa jika dia percaya Al-Quran itu kalimat Allah.
Lebih-lebih lagi, menurut Injil Barnabas semua malaikat akan mati pada hari kiamat (m.s.70) tetapi Al-Quran tidak berkata begitu malah menunjukkan bahawa lapan malaikat akan memikul takhta Tuhan pada hari kiamat (Surah 69:17) Kaum Muslim dan Kristian yang percaya terhadap kitab masing-masing mesti menolak Injil Barnabas kerana ianya penulisan kacukan yang tiada nilai agama mahupun sastera.
Kami boleh berterusan dengan bukti-bukti lain mengenai kepalsuan kitab ini, tetapi bukti-bukti yang telah didepankan adalah cukup untuk membuka mata kaum Muslim bahawa Injil Barnabas sememangnya tidak menampilkan bukti-bukti yang kukuh kepada mereka mengenai kehidupan Hazrat Isa. Minat kaum Muslim terhadap kitab ini boleh difahami tetapi demi kebenaran, kaum Muslim patut mengakui bahawa kitab ini bukan kontemporari dengan kehidupan Hazrat Isa di dalam Al-Quran, tetapi adalah satu kepalsuan semata-mata yang nyata. Kitab ini akan memburukkan nama agama Islam sekiranya orang yang degil dan bodoh terus menyebarkannya sebagai kisah benar kehidupan dan ajaran Hazrat Isa.
LIHAT JUGA TENTANG BARNABAS
1.http://ahmadthoriq-islam.blogspot.com/2014/03/1-adakah-barnabas-pengarang-sebenarnya.html
2.http://ahmadthoriq-islam.blogspot.com/2014/03/2-bukti-mengenai-asal-usulnya-dari.html
3.http://ahmadthoriq-islam.blogspot.com/2014/03/3-bukti-bukti-lain-yang-menentang.html
4.http://ahmadthoriq-islam.blogspot.com/2014/03/injil-barnabas.html

0 komentar:
Posting Komentar